fb fb fb fb fb

Kegiatan sedia dokumen imigresen palsu dalam talian, bongkar

PUTRAJAYA, 18 Julai - Kaut keuntungan mencecah hingga RM360,000 setahun, kegiatan seorang warganegara Myanmar yang dipercayai mendalangi khidmat menyediakan dokumen imigresen palsu secara dalam talian, akhirnya terbongkar.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh memberitahu, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan dalam satu 'Operasi Khas' yang dijalankan pasukan perisikan imigresen dan operasi khas pada 13 Julai lalu, hasil risikan selama dua bulan.

Suspek dikenali sebagai 'Aya K' dalam aplikasi 'WhatsApp'; ditahan ketika dalam perjalanan untuk menyerahkan pas lawatan kerja sementara palsu, di Dataran Merdeka.

Hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui satu pelekat pas lawatan kerja sementara palsu di dalam beg suspek serta satu pas lawatan kerja sementara, dua naskhah pasport warga Myanmar yang disyaki palsu beserta wang tunai bernilai RM26,000 yang diletakkan di dalam kenderaan jenis Honda CRV yang digunakan suspek.

Operasi kemudiannya membawa kepada penggeledahan premis kediaman suspek, di Sentul.

"Hasil penggeledahan, kita telah merampas satu set peralatan komputer lengkap yang disyaki digunakan untuk memalsukan dokumen palsu seperti 26 keping kad UNHCR. Kita dapat 26 keping kad UNHCR palsu, dua keping kad CIDB palsu, tiga keping PLKS palsu, lapan naskhah pasport Myanma, juga palsu, satu keping kad lesen memandu Myanmar yang juga palsu dan wang tunai sebanyak RM1,500 di tempat kejadian.

"Bermaknanya kalau kita tengok pada tangkapan awal kita dapat RM26,000 berhampiran dengan Dataran Merdeka...dan bila kita pergi ke rumah suspek, kita dapat lagi RM1,500 di samping dokumen-dokumen palsu yang lain,"

(Ruslin ditemui media dalam sidang media sempena
Hari Bertemu Pelanggan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) 2023, di sini)

Beliau menjelaskan, modus operandi sindiket Aya K itu tertumpu di kawasan sekitar Lembah Kelang, yang menyasarkan warganegara Myanmar dan Bangladesh yang mempunyai masalah untuk mendapatkan dokumen sah, dengan anggaran bayaran perkhidmatan antara RM200 hingga RM1,000 ringgit.

Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah pasport Myanmar, pas lawatan kerja sementara, kad UNHCR, kad CIDB, lesen memandu Myanmar dan kad perakuan nikah Rohingya palsu.

Suspek kini ditahan di Depoh Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan bawah Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966.

Media Baharu