fb fb fb fb fb

Kefahaman & kebijaksanaan menuntut ilmu, elak perbalahan- Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto fail/BERNAMA

PUTRAJAYA, 29 Mei- Kefahaman umat Islam terhadap tradisi ilmu masih dangkal, walaupun tahap kesedaran dan kecerdasan umat ketika ini semakin berkembang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata permasalahan itu mampu mencetuskan perbalahan serta perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Ia mampu diselesaikan menerusi kefahaman serta kebijaksanaan dalam menuntut ilmu pengetahuan.

Selain itu, beliau berpesan agar setiap perbezaan pendapat perlu dibatasi dengan adab. Manakala, penafsiran Al-Quran dan hadith perlu berlandaskan ulama muktabar agar tidak terpesong dari maksud asal hadis mahupun ayat-ayat Al-Quran tersebut.

Beliau berucap pada Majlis Ilmu Madani dan Peluncuran Terjemahan Kitab Fiqh Zakat di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Majlis dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hassan dan tokoh ulama dari Qatar, Syeikh Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi.

Penganjurannya simbolik kepada usaha melahirkan masyarakat yang mengimarahkan masjid serta menghidupkan tradisi majlis ilmu selari dengan usaha Kerajaan MADANI memberi kefahaman dan penghayatan Islam yang sebenar.

 

ROSLINA BINTI DIN