KUALA LUMPUR, 2 April- Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM100,000 kepada Tabung Musaadah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, sumbangan tersebut bagi menjayakan misi bantuan Musaadah melalui program JAWI Food Bank yang memberikan manfaat kepada penerima dari pelbagai golongan masyarakat termasuk golongan bukan Islam yang tinggal berhampiran kawasan masjid.
"Duta Besar China telah pun menyatakan hasratnya untuk memberikan sumbangan tambahan kepada Tabung Musaadah JAWI untuk digunakan bagi disumbangkan untuk masyarakat.
"JAWI melalui tabung itu sentiasa memberikan bantuan kepada masyarakat tidak kira Islam mahupun bukan Islam melalui institusi masjid. Kita Telah mengarahkan masjid dan surau bawah JAWI untuk merapatkan hubungan sesama masyarakat tidak kira Islam atau bukan Islam," katanya di sini.
Sumbangan berkenaan merupakan kali ke-6 daripada pihak Kedutaan Republik Rakyat China di Malaysia sejak tahun 2020 dengan nilai keseluruhan sebanyak RM700,000.
Agenda memperluas jaringan kerjasama dalam program bantuan kepada mangsa bencana dan musibah bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara turut dibincangkan ketika kunjungan hormat Duta Besar China.
Sehingga kini, JAWI Food Bank dengan kerjasama rakan strategik telah mengagihkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung bernilai RM6.1 juta yang memberi manfaat kepada kira kira 300,000 penerima.