fb fb fb fb fb

Kedudukan Kerajaan Perpaduan stabil, kukuh - Anthony

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 Disember- Kedudukan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini adalah yang paling stabil dan kukuh.

Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Anthony Loke berkata persefahaman dan komitmen semua gabungan parti politik adalah kunci kepada kestabilan kerajaan hari ini.

Jelasnya, DAP kekal teguh menyokong Anwar dan sebahagian daripada pakatan yang membentuk Kerajaan Perpaduan.

"Sokongan ini juga diberikan komitmen oleh Barisan Nasional (BN) diketuai oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, komitmen yang sama dinyatakan berulang kali oleh pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pada minggu lalu di Bukit Jalil, Timbalan Perdana Menteri ll, Datuk Seri Fadillah Yusof mengulangi komitmen dan pendirian itu dengan jelas menyatakan bahawa GPS akan tetap memberikan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan," kata Anthony dalam ucapan perasmian konvensyen tahunan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Anthony yang juga Menteri Pengangkutan berkata pendirian parti gabungan tersebut meranapkan dakwaan sesetengah pihak yang kononnya Kerajaan Perpaduan akan tumbang dan berlaku pertukaran kerajaan.

Dalam pada itu, Anthony berkata sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi memperkasa pengangkutan awam khususnya di Lembah Klang.

Anthony berkata sebahagian peruntukan akan digunakan bagi menambah kemudahan laluan khas bas dan bilangan bas sedia ada melalui syarikat Prasana Malaysia Berhad.

Ini bagi menaik taraf pengangkutan awam sebagai pilihan utama mod pengangkutan selain memastikan perjalanan bas yang lebih lancar dan cepat.

"Satu projek perintis telah diadakan di Jalan Ampang dan jalan itu kita nampak ada keberkesanannya, jumlah 'ridership' telah bertambah untuk laluan tersebut dan masa untuk bas memang berkurangan untuk sampai ke kawasan Kuala Lumpur khususnya KLCC," kata Anthony.

Menurut Anthony, pengurangan masa perjalanan dan kemudahan lengkap mampu menarik lebih ramai pengguna, sekali gus mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di sekitar Kuala Lumpur.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM