Kedai runcit musnah 80 peratus dalam kebakaran di Jalan Sungai Lang

Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Selangor

KUALA LANGAT, 28 Januari – Sebuah kedai barangan runcit musnah hampir 80 peratus dalam kebakaran di Jalan Sungai Lang, Kampung Sungai Lang, di sini pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 19 anggota BBP Banting dikerahkan ke lokasi untuk operasi pemadaman.
  • Operasi turut dibantu oleh BBP Telok Panglima Garang dan BBP KLIA.
  • Kebakaran dikawal sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah hari tanpa mangsa terlibat.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 11.41 pagi.

Seramai 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting digerakkan ke lokasi.

Operasi pemadaman turut dibantu oleh BBP Telok Panglima Garang dan BBP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Fadli Che Mustafa berkata, kebakaran melibatkan sebuah kedai runcit jenis kelas B berkeluasan kira-kira 60 x 80 kaki persegi.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 12.05 tengah hari dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan.