fb fb fb fb fb

Kedah siap siaga hadapi MTL

Foto RTM

ALOR SETAR, 16 Oktober-Kedah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika berlakunya Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku hujung bulan ini atau awal bulan depan.
 
Exco Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria berkata Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS Kedah telah mengambil tindakan awal dengan membaik pulih sistem saliran atau sungai yang berisiko.
 
Antaranya membaik pulih saliran di Kampung Padang Perak serta kerja-kerja berkaitan di Mukim Mergong, Alor Setar.
 
"Jadi kalau dari segi persediaan memang jawatankuasa (Pengurusan) bencana peringkat daerah, negeri sentiasa bersiap siaga dan beroperasi.

"Bahkan kita pun sentiasa bersedia untuk berikhtiar untuk menghadapi kemungkinan juga bila tempias Monsun Timur Laut (MTL) di sini.

Ketika ini, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula sejak 24 September lalu dan dijangka berterusan sehingga awal bulan depan.
 
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata pihaknya menjangkakan Monsun Timur Laut (MTL) tetap berlaku pada awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologi.
 
Untuk rekod, beberapa daerah di Kedah dilanda banjir sejak 17 September lalu.
 
Gelombang banjir yang berlaku beberapa kali dan masih belum pulih hingga kini itu menyebabkan ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara, (PPS).
 
Dalam pada itu, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku selama tiga hari bermula 18 Oktober ini.
 
Berdasarkan kenyataan daripada JPS, banjir air pasang berpotensi berlaku sekiranya terjadi pertembungan serentak air pasang, angin kencang dan hujan lebat pada satu-satu masa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD