fb fb fb fb fb

Kedah catat satu kematian akibat kencing tikus

Foto Hiasan

ALOR SETAR, 21 Jun - Kedah mencatatkan jumlah kumulatif 105 kes daftar melalui ujian serologi positif jangkitan penyakit Leptospirosis atau Kencing Tikus dengan satu kematian bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 8 Jun lalu.

Angka itu meningkat sebanyak 18 peratus daripada 89 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Ismuni Bohari dalam kenyataan berkata, daripada 105 kes daftar, 32 kes telah disahkan dengan ujian Microscopic Agglutination Test (MAT).
 
Manakala 16 kes masih menunggu keputusan makmal MAT.
 
Beliau berkata, susulan jangkitan kes kencing tikus terhadap beberapa individu yang telah mengunjungi Taman Eko Rimba Lata Bayu di Daerah Baling, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling telah menjalankan siasatan dan penilaian risiko di pusat rekreasi tersebut.
 
Sehubungan itu sampel air dan tanah telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam (MKA) Ipoh.
 
"Sebagai langkah kawalan, Taman Eko Rimba Lata Bayu telah ditutup oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bermula 17 Jun lalu sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
 
"Nasihat kesihatan juga telah diberikan kepada semua pengunjung Taman Eko Rimba Lata Bayu," katanya.
 
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan terus memantau perkembangan terkini kejadian Leptospirosis serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan dengan kerjasama semua agensi berkaitan.
 
"Orang ramai juga dinasihatkan untuk sentiasa menjaga kebersihan semasa mengunjungi pusat rekreasi dan jika bergejala setelah mengunjungi pusat rekreasi, perlu segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran."
 
Leptospirosis merupakan sejenis penyakit zoonotik iaitu penyakit yang berjangkit daripada haiwan kepada manusia yang disebabkan bakteria Leptospira.
 
Manusia boleh dijangkiti melalui luka pada kulit atau membran mukus yang terdedah kepada bahan tercemar termasuk air, tanah, dan makanan ataupun jika tertelan bahan-bahan tercemar tersebut.
 
Pelbagai haiwan liar dan domestik boleh menjadi perumah kepada bakteria Leptospira, antaranya ialah tikus, kucing, anjing, lembu, babi, arnab, kuda dan sebagainya.
 
Leptospirosis merupakan pendemik di negara beriklim tropika termasuk Malaysia, tempoh pengeraman adalah antara dua hingga 30 hari.
 
Gejala jangkitan adalah demam, menggigil, sakit badan/otot, sakit kepala, batuk tidak berkahak, loya, muntah dan cirit-birit.

TETITIA YUSOFF