ALOR SETAR, 4 Mac- Kedah mencatatkan jumlah pelaburan terkumpul dalam sektor pembuatan sebanyak RM105.03 billion sejak bermulanya pelaksanaan KEDAH 2035 pada tahun 2021.
Pencapaian tersebut secara efektif menjadikan Kedah sebagai sebuah hub pelaburan utama negara.
Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah bertitah, selain menjana pendapatan kepada negeri melalui pungutan hasil dan cukai, pelaburan yang masuk itu turut menyumbang kepada limpahan ekonomi khususnya dari sudut peluang pekerjaan serta peluang perniagaan.
Baginda bertitah, bagi tempoh tiga tahun yang lepas, lebih 20,000 peluang pekerjaan baharu telah dijana hasil daripada pelaburan tersebut.
Titah baginda, peluang ini seharusnya direbut oleh graduan dan tenaga mahir anak Kedah yang berada di dalam dan luar negeri. Dengan cara ini kelompok 'the best brain of Kedah' dapat dikekalkan di dalam negeri, dan migrasi keluar anak negeri dapat dikurangkan.
"Syarikat tempatan haruslah terlibat secara aktif agar manfaat pelaburan pelaburan tidak terlepas kepada entiti luar. Penglibatan ini juga akan menyokong ekosistem pelaburan ke arah yang lebih ampuh dan mampan.
"Selain itu, Beta turut berharap agar kerajaan negeri memperkasakan perancangan di luar Kulim High Tech Park (KHTP) bagi membolehkan pembangunan dapat dikembangkan ke daerah-daerah berpotensi seperti Bandar Baharu yang memiliki kedudukan strategik berdekatan pelabuhan serta dilengkapi akses lebuhraya,"katanya.
Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bertitah demikian pada Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pagi tadi.
Dalam titah ucapan sama, baginda bertitah, bagi membolehkan negeri Kedah memainkan peranan yang lebih penting dalam ekonomi, cadangan projek strategik dan berimpak tinggi negeri perlu diberi perhatian dan sokongan.
Selain daripada Projek Impak Tinggi yang dirangka bawah KEDAH 2035, terdapat beberapa projek strategik yang dicadangkan oleh pihak swasta.
Titah baginda, menerusi kemampuan fiskal dan kewangan negeri dan negara yang terhad, kaedah pembiayaan secara 'private finance initiative' (PFI) adalah kaedah terbaik untuk dilaksanakan.
Antara projek infrastruktur bersifat strategik yang dicadangkan adalah Projek Pembangunan Hub Hidrokarbon Pulau Bunting di Yan, Kedah Aerocity di Kuala Muda serta pelabuhan laut dalam di Sanglang, Kedah.
Titah baginda lagi, dalam konteks pembangunan pihak swasta, peranan kerajaan adalah sebagai pemudah cara agar perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan membawa manfaat kepada negeri dan rakyat.