
KUALA NERANG, 5 Mac -Kira-kira 320 usahawan desa di seluruh Kedah menerima manfaat daripada peruntukan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) untuk menaik taraf premis industri kecil dan sederhana (IKS) bawah seliaannya.
- Peruntukan RM6.5 juta untuk baik pulih dan penambahbaikan kemudahan asas premis IKS termasuk aspek keselamatan serta persekitaran.
- Inisiatif dilaksanakan berfasa sebagai komitmen KEDA memperkasakan ekonomi luar bandar.
- Peningkatan infrastruktur dijangka tingkatkan produktiviti, kecekapan operasi dan potensi hasil jualan sehingga 30 peratus.
- Empat unit Kedai@KEDA diserahkan kepada usahawan, diuruskan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program untuk operasi teratur.
Pengerusi KEDA, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata peruntukan sebanyak 6.5 juta tu melibatkan kerja membaik pulih dan penambahbaikan kemudahan asas termasuk aspek keselamatan serta persekitaran premis bagi memastikan ruang perniagaan lebih selesa, tersusun dan memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan secara berfasa sebagai komitmen berterusan KEDA dalam memperkasakan ekonomi luar bandar.
“Apabila kemudahan asas dan infrastruktur dipertingkatkan, ia dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi harian usahawan, malah berpotensi menambah hasil jualan hingga 30 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Santapan Rohani Ramadan Desa KEDA Zon 2 serta majlis penyerahan Kedai@KEDA Kubang Kenyeng di Desa KEDA Kubang Kenyeng di sini, malam tadi.
Datuk Seri Mahdzir berkata, KEDA ketika ini mempunyai 180 lot bangunan industri di bawah Taman IKS di beberapa lokasi termasuk Napoh, Sungai Bongkok, Jeniang serta Wang Tok Rendong di Langkawi.
Selain itu, beliau berkata KEDA turut menyediakan 323 lot premis niaga di seluruh Kedah termasuk bangunan pasar raya di Kulim yang disewa oleh Mydin.
Pada majlis tersebut empat unit Kedai@KEDA Kubang Kenyeng yang siap dibina pada Ogos tahun lepas dengan kos keseluruhan RM489,497 termasuk kerja menaik taraf infrastruktur diserahkan kepada usahawan terpilih selepas melalui proses temu duga.
Beliau berkata pembinaan kemudahan itu bertujuan menyediakan ruang perniagaan yang kondusif kepada usahawan tempatan serta menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti keusahawanan.
“Lot kedai ini akan diuruskan pihak pengurusan Pasukan Perancang dan Pelaksana Program (4P) Desa KEDA Kubang Kenyeng bagi memastikan pengoperasian yang tersusun dan memberi manfaat optimum kepada penduduk setempat,” katanya.