ALOR SETAR, 27 Oktober- Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) mengambil inisiatif mengadakan Program Satu Pepimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Pengurus Besar KEDA, Ismasuhaimi Shariff berkata, program yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertujuan meningkatkan potensi dan keupayaan komuniti luar bandar melalui pendekatan pemimpin kepada rakyat.
"Salah satu yang kita tumpukan adalah daripada segi kemiskinan macam Seberang Perak ini di dalam kawasan bandar. Jadi kita akan tumpukan dari segi macam mana kita nak membasmi kemiskinan bandar, penduduk-penduduk kampung yang ada di sini untuk kita mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
"Pada masa sama kita membantu dari segi untuk mengadakan kegiatan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat," katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, program itu terbahagi kepada dua segmen utama iaitu Kepimpinan Komuniti dan Sesi Libat Urus Masyarakat dengan pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program tersebut.
Antaranya, klinik pemerkasaan kepimpinan komuniti luar bandar; pameran dan khidmat kaunter bergerak oleh 18 agensi kerajaan dan swasta termasuk Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA), dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta ceramah keselamatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan sindiket penipuan dalam talian.
Selain itu, Kolej KEDA memberikan perkhidmatan tukar minyak hitam secara percuma serta taklimat promosi kemasukan ke Kolej KEDA bagi sesi Januari Tahun 2025.
Antara aktiviti lain termasuk jualan usahawan setempat, pertandingan mewarna kanak-kanak, cabutan bertuah,dan sukan rakyat antara Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
Pada sebelah malam pendakwah selebriti iaitu Ustaz Zarifi Daud, Ustaz Hariri Daud dan Ustaz Ihsan Daud akan menyampaikan ceramah perdana bertajuk 'Cintakan Rasul, Kasihkan Allah'.