fb fb fb fb fb

Kebocoran paip gas di Tapak ECRL tidak jejas jadual projek

Menteri Pengangkutan Anthony Loke

KUALA TERENGGANU, 22 September -Kejadian kebocoran pada saluran paip gas di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Seksyen 5, Kerteh pada Sabtu lalu tidak menjejaskan jadual pelaksanaan pembinaan projek berkenaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, siasatan berhubung insiden itu sedang dijalankan oleh beberapa agensi termasuk Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), serta agensi berkaitan lain dan kerja-kerja pembaikan telah dilaksanakan segera oleh pihak Petronas.

Katanya, pihaknya memberi jaminan insiden itu hanya melibatkan kebocoran paip gas dan bukannya letupan seperti yang berlaku di Putra Heights sebelum ini.

Setakat ini, pembinaan keseluruhan projek ECRL telah mencapai 87 peratus, dengan segmen di Terengganu menjadi antara yang paling cepat siap disebabkan keadaan geografi yang rata serta penyelesaian awal isu berkaitan tanah.

Sementara itu beliau berkata, kerajaan turut memandang serius isu kecurian kabel di beberapa kawasan pembinaan yang dilapor menjejaskan kelancaran kerja, khususnya di Pahang.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan terus memperketat tindakan undang-undang bagi menangani masalah tersebut.

"Saya dah bincang dengan kementerian, dengan pihak polis. Perlu ambil tindakan lebih agresif termasuk menggunakan peruntukan undang-undang yang lebih keras. Kerana ia  menyebabkan yang pertamanya bukan sahaja kehilangan kos kepada kerajaanm, tetapi juga mengganggu ketenteraan awam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan operasi Bas.My yang diterajui MARA Liner, di sini.

Kerajaan memperuntukkan RM40.81 juta bagi mengendalikan operasi bawah Program Transformasi Bas Berhenti-henti untuk tempoh lima tahun iaitu hingga 2029.

Perkhidmatan Bas.My digerakkan dengan 27 buah bas mini, lapan laluan melibatkan empat Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Hulu Terengganu, Setiu dan Marang.

TETITIA YUSOFF