fb fb fb fb fb

Kebijaksanaan Malaysia tonggak Kepengerusian ASEAN 2025

Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) di Putrajaya, malam ini/RTM

PUTRAJAYA, 22 November- Kebijaksanaan Malaysia dalam menangani isu serantau perlu menjadi tonggak utama untuk memastikan suara negara didengar di peringkat antarabangsa demi kepentingan negara-negara anggota ASEAN.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelbagai pendekatan baharu perlu dirangka untuk menangani cabaran utama, termasuk penyelesaian krisis geopolitik, pengukuhan kuasa ekonomi, perdagangan dan kemakmuran rantau.

"Kita perlu mencari langkah berkesan dan inovatif untuk menghadapi cabaran baharu selaras dengan trend global serta penerobosan teknologi terkini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) bertemakan "Halatuju dan Strategi Kepengerusian ASEAN - Malaysia 2025" di sini malam ini.

Tambahnya, selain menekankan pendekatan inklusif, keterangkuman dan kemampanan, Malaysia perlu memastikan keberhasilan serta keberkesanan mendalam semasa menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.

Forum siri ketiga itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan, yang menjadi panel dalam sesi pertukaran pandangan dan idea mengenai strategi Kepengerusian ASEAN 2025.

SITI AISHAH MD ISA