fb fb fb fb fb

Kebenaran penuaian, penjualan kerang-kerangan dijangka jana pendapatan

Foto hiasan

SEREMBAN, 14 Ogos- Kebenaran penuaian dan penjualan kerang-kerangan di perairan Negeri Sembilan dan Melaka diharapkan akan memberi kelangsungan kepada nelayan dan penternak di samping menambah pendapatan.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, ia susulan larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan di perairan berkenaan ditarik balik.

"Ini menunjukkan bahawa kupang itu boleh dimakan di Port Dickson dan saya berharap penternak kupang dapat meneruskan aktiviti ini. Kita harap supaya kita boleh menjaga sungai dan laut supaya tidak tercemar.

"Ini antara faktor memberi kesan tempoh hari dan menjejaskan penternak hampir enam bulan. Kini mereka dibenarkan menjual kupang dan secara tidak langsung meningkatkan pendapatan nelayan kita di Port Dickson," katanya

Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, di sini.

Terdahulu, larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan di perairan Negeri Sembilan dan Melaka telah ditarik semula berikutan penurunan tahap biotoksin ke paras selamat iaitu menunjukkan keputusan bacaan biotoksin bawah 400 per-bilion bagi sampel ke-15.

Ia berdasarkan hasil pemantauan rapi Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dan analisis makmal konsisten.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI