Kebebasan media: Kerajaan sedia beri ruang lebih terbuka

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama para pelajar pada program program Temu Anwar di TAR UMT, Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR 4 Feb – Kerajaan bersedia memberikan ruang kebebasan media yang lebih terbuka termasuk mempertimbangkan kajian semula undang-undang berkaitan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan akan beri ruang kebebasan media lebih terbuka dan kajian semula undang-undang berkaitan akan dipertimbangkan.
  • Anwar tekankan kebebasan tidak mutlak untuk elakkan fitnah dan provokasi melampau sensitif kaum dan agama.
  • Perbincangan lanjut akan diadakan bersama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil untuk perincian cadangan.

Namun menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kebebasan itu tidak bersifat mutlak bagi mengelakkan penyebaran fitnah serta sebarang bentuk provokasi melampau yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.

“Saya setuju kita beri kebebasan kerana negara kian matang, ini bukan negara pada era 1950-an, 1960-an.

“Sekarang negara sudah merdeka dan bebas. Jadi kita harus beri ruang tetapi bukan ruang untuk membenarkan orang maki hamun,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sesi dialog program Temu Anwar di Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), di sini hari ini.

Tambah beliau, perbincangan lanjut akan diadakan dengan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bagi memperincikan cadangan kajian semula undang-undang berkaitan.