SUBANG JAYA, 1 April- Kebarangkalian berlakunya letupan susulan di Jalan Putra Harmoni Putra Heights Subang Jaya akibat kebakaran saluran paip gas adalah sangat rendah.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad menjelaskan perkara itu berikutan tiada aliran gas dikenal pasti pada sebelah petang selepas penutupan empat injap utama di Kampung Lombong Puchong, Batu Tiga, Shah Alam dan Klang pada pagi tadi.
Perkembangan itu akan memudahkan pasukan penyiasat bomba untuk masuk bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Penduduk boleh masuk ke kediaman mereka dengan pemantauan pihak berkuasa untuk mengambil barang atau haiwan peliharaan, ketika ini tiada bekalan elektrik di sekitar di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkara demikian kepada pemberita selepas melawat tapak kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights Subang Jaya di sini.
Secara keseluruhan, beliau memaklumkan kira-kira 237 rumah terjejas dan jumlah mangsa terlibat adalah seramai 305 orang dengan kebanyakannya cedera akibat melecur serta terhidu haba panas.
Dalam pada itu beliau turut melaporkan sebanyak 88 unit bangunan melibatkan 78 unit rumah serta 10 unit rumah kedai terbakar antara 10 hingga 90 peratus.
Selain itu, Nor Hisham berkata sebanyak 275 kereta dan 56 motosikal terbakar dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Seramai 35 anggota Pasukan Gerakan Am ditugaskan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dan memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.
Kebakaran berkenaa berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 3.45 petang tadi dan seramai 325 anggota serta pegawai daripada 11 agensi terlibat dalam operasi pemadaman dan menyelamat.
Berkenaan kerja-kerja pembersihan dan pemeriksaan, beliau menjangkakan ia akan dilakukan dalam tempoh 24 jam.