BUKIT KATIL, 27 Februari- Kebakaran yang mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Berangan Enam, Umbai, Jasin, baru-baru ini bukan disebabkan masalah pendawaian, sebaliknya akibat kemalangan.
Bagaimanapun, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka Mohd Pisar Aziz memaklumkan butiran mengenai kemalangan itu masih belum boleh didedahkan kepada umum.
Jelas beliau, pihaknya masih menunggu laporan terperinci daripada pihak kesihatan dan polis bagi melengkapkan siasatan.
"(Siasatan) kita melibatkan tiga agensi utama iaitu bomba, patologi kesihatan dan forensik polis. Setakat ini, kita sudah mempunyai penemuan awal, tetapi perlu membincangkannya bersama bagi memastikan punca sebenar," katanya dalam sidang media selepas Perbarisan Tahunan 2025 JBPM Negeri Melaka di Ibu Pejabat JBPM Bukit Katil di sini hari ini.
Dalam kejadian 13 Februari lalu, lima beranak rentung selepas rumah mereka terbakar pada pukul 1.40 pagi.
Dalam perkembangan lain, JBPM Melaka menerima sebanyak 818 panggilan kecemasan sejak 1 Januari hingga 25 Februari lalu membabitkan kebakaran, penyelamatan dan tugas-tugas khas.
Mohd Pisar berkata kebakaran mencatat jumlah tertinggi dengan 396 panggilan diikuti penyelamatan (387) dan tugas-tugas khas (35).
"Kebanyakan kes kebakaran melibatkan belukar, longgokan kayu, struktur (bangunan), sampah dan kenderaan. Kebakaran sepanjang tempoh ini telah mengakibatkan tujuh kematian, lima kecederaan dan empat mangsa berjaya diselamatkan," katanya.
Bagi panggilan penyelamatan pula, sebanyak tujuh kematian direkodkan, manakala 47 mangsa cedera dan 58 orang berjaya diselamatkan.
Pada tahun 2024, JBPM Melaka merekodkan 5,081 panggilan kecemasan, merangkumi 3,000 panggilan penyelamatan, 1,850 kebakaran, 130 tugas khas dan empat panggilan palsu.

Mohd Pisar Aziz/RTM
BERITA BERKAITAN