Kebakaran kilang di Banting: Polis tunggu laporan forensik

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar

SEPANG, 16 Januari Polis Selangor mengesahkan siasatan kebakaran sebuah kilang di Banting yang mengorbankan tiga nyawa masih diteruskan namun punca kejadian belum dapat dipastikan sementara menunggu laporan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis Selangor masih menjalankan siasatan; punca kebakaran belum dipastikan menunggu laporan forensik JBPM.
  • Keputusan penuh laporan forensik akan tentukan hala tuju siasatan dan sama ada unsur kecuaian wujud.
  • Tiga mayat rentung ditemui, dihantar ke Hospital Banting untuk ujian DNA sebelum pengesahan identiti.
  • Pihak polis menasihatkan orang ramai tidak membuat spekulasi awal bagi mengelak salah faham.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, pihak polis akan menunggu keputusan penuh laporan berkenaan sebelum menentukan hala tuju siasatan seterusnya.

“Kita tidak dapat tentukan lagi sama ada terdapat unsur kecuaian atau sebaliknya kerana rakan strategik kita, pihak bomba masih menjalankan forensik kebakaran.

“Kita menunggu pelaporan daripada pihak forensik bomba sebelum berkongsi maklumat lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Polis Daerah KLIA di Ibu Pejabat Daerah (IPD) KLIA di sini.

Datuk Shazeli turut menasihatkan semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal berhubung punca kebakaran berkenaan, bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal dalam kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga mangsa telah dihantar ke Hospital Banting untuk ujian DNA.

“Ada tiga individu yang juga etnik Rohingya mengaku waris kepada mangsa merujuk kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR).

“Pihak polis akan memaklumkan identiti sebenar ketiga-tiga mangsa selepas keputusan ujian DNA daripada Hospital Banting diperoleh,” menurut kenyataan itu.

Polis mengesahkan penemuan tiga mayat rentung ketika pemeriksaan lanjut dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 11 pagi pada Khamis, susulan kebakaran yang dilaporkan berlaku kira-kira 10.05 malam pada Rabu.

Pasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.03 malam melibatkan kebakaran empat buah kilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar dilaporkan berkata, ketiga-tiga mangsa ditemukan di sebuah kilang yang berfungsi sebagai gudang memproses minyak.

Kilang berkenaan musnah terbakar 100 peratus, dengan pasukan bomba ketika operasi memasuki fasa ‘overhaul’ menemukan jasad ketiga-tiga mangsa kira-kira pukul 2.30 pagi pada Khamis.