PUTRAJAYA, 8 Januari – Kerajaan memandang serius kebajikan rakyat Palestin di Malaysia, terutamanya mereka yang memerlukan rawatan perubatan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan usaha berterusan sedang dijalankan untuk menghantar pulang mereka ke negara asal bagi tujuan tersebut.
"Jemaah menteri hari ini dimaklumkan bahawa beberapa perbincangan koordinasi sedang dilakukan antara Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan (MINDEF) untuk berhubung dengan kerajaan Mesir.
"Usaha menghantar pulang warga Palestin sedang berjalan, dan pada masa yang sama, segala perkhidmatan perubatan akan terus disediakan," katanya dalam sidang media mingguan, di sini.
Isnin lalu, Fahmi berkata insiden kekecohan yang dicetuskan rakyat Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada Sabtu, akan dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini (hari ini) termasuk membincangkan tindakan lanjut yang akan diambil kerajaan ekoran kejadian berkenaan.