fb fb fb fb fb

KEB 2024 rangka Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera - TPM

Dr Ahmad Zahid Hamidi

ANGKASAPURI, 26 Februari- Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 bersifat terbuka dan inklusif, jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyifatkan penganjurannya merupakan platform memfokuskan strategi bagi memperkasa ekonomi masyarakat secara keseluruhannya.

Jelasnya, KEB 2024 juga bakal menggarap idea-idea bernas ke arah merangka Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera.

"Kita lakukan keterangkuman untuk melihat perspektif yang berbeza demi kepentingan ekonomi Bumiputera tanpa kita mengetepikan pelbagai etnik di negara kita.

"Bukan soal kemiskinan sahaja yang akan disantuni, tetapi soal bagaimana bidang-bidang baharu harus diterobosi oleh Bumiputera... untuk dimasuki.

"Begitu juga di dalam bidang pendidikan, kumpulan profesional kita adakah telah mencukupi dan adakah untuk tempoh yang terdekat ini kita dapat melakukan persaingan yang sihat antara usahawan-usahawan yang ada di negara kita, tanpa kita ketepikan kumpulan, etnik atau kaum berbeza," katanya kepada pemberita RTM di sini.

Tambahnya, konsep inklusif itu turut mengambil kira penyertaan merentasi dimensi kaum serta mendengar pandangan daripada wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan juga Bumiputera Sabah dan Sarawak.

KEB 2024 akan diadakan pada 29 Februari hingga 2 Mac bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Terdahulu, Ahmad Zahid menjadi tetamu dalam rancangan Bicara Naratif di sini.

2602 NARATIF ZAHID KEB INKLUSIF 2
Dr Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dalam rancangan Bicara Nararif di TV1 malam ini


ARTIKEL BERKAITAN

KEB 2024 mampu lonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera - PM

SITI AISHAH BINTI MD ISA