KUALA LUMPUR, 26 Februari- Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) yang berlangsung bermula Khamis ini menjadi antara agenda penting bagi Kerajaan MADANI untuk melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera.
Sehubungan itu, kerangka KEB 2024 dibincangkan secara terperinci dalam Mesyuarat Khas Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi.
"KEB 2024 menjadi antara agenda penting Kerajaan MADANI bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh supaya berkembang maju secara progresif dan inovatif.
"Selari dengan konsep dasar dan penyertaan yang merentasi dimensi kaum, mesyuarat hari ino turut mendengar pandangan daripada wakil-wakil Dewan Perniagaan Melayu, Cina, India dan juga Bumiputera Sabah dan Sarawak," jelas Anwar dalam Facebooknya hari ini.
Tambahnya, menjadi harapan kerajaan supaya KEB 2024 berjaya mengumpul idea-idea bernas dan menjadi titik tolak kepada perencanaan Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang.
KEB 2024 berlangsung bermula 29 Februari hingga 2 Mac depan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.