PUTRAJAYA, 14 Februari- Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) akan melibatkan pembentangan hasil dapatan daripada Sesi Libat Urus (SLU) yang terdiri daripada 10 sektor terpilih.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata resolusi pembentangan itu akan disampaikan kepada Perdana Menteri.
10 sektor terpilih yang terlibat dalam pembentangan meliputi Reformasi Pendidikan dan Modal Insan, TVET Pilihan Kerjaya Utama, FELDA dan Tanah Wilayah serta Sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sarawak.
"Kita telah melibatkan semua, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Perniagaan Kadazan Dusun dan Dewan Perniagaan Iban dan Dayak dari Sarawak. "
"Penglibatan mereka ini untuk mengetuai kluster Sabah dan Sarawak bagi meneliti beberapa perincian program-program yang disarankan oleh mereka sebagai komponen penting dalam kongres bumiputera ini," kata Zahid kepada pemberita dalam sidang media Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024, di sini.
Tambahnya, resolusi itu bagi menetapkan hala tuju dan pendekatan baharu agenda Bumiputera.
Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).
Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
KEB 2024 dijadual berlangsung pada 29 Februari hingga 2 Mac ini.