fb fb fb fb fb

KDNKA jamin keselamatan negara terkawal, kawalan sempadan diperketat

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 28 Februari – Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan tahap keselamatan negara, khususnya di kawasan sempadan, berada dalam keadaan terkawal.

Pengarah KDNKA, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata pihaknya sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan sempadan dengan melaksanakan kawalan ketat dan penguatkuasaan bersepadu berdasarkan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, pihak polis telah mengesan sebuah video berdurasi tiga minit 44 saat di aplikasi TikTok yang dipercayai memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran awam.

“Kandungan video tersebut bersifat provokasi berkaitan situasi tangkapan warga asing, yang menggambarkan ancaman terhadap keselamatan negara serta menuduh kawalan sempadan tidak terkawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan supaya berhati-hati dalam menghasilkan, mengeluarkan, dan memuat naik sebarang kenyataan atau kandungan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam.

Azmi turut menegaskan, tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil terhadap individu yang mengancam keharmonian dan kesejahteraan masyarakat serta mewujudkan rasa tidak selamat dalam kalangan rakyat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN