KDNK 2026 kekal 4.0-4.5 peratus walaupun cabaran geopolitik

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 12 MacKerajaan mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini pada kadar 4.0 hingga 4.5 peratus, meskipun berdepan cabaran konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ekonomi negara menunjukkan daya tahan baik disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.
  • Bank Negara akan menyemak unjuran; keputusan akhir mengenai sasaran pertumbuhan ditentukan kemudian.
  • Prestasi 2025 melebihi sasaran, KDNK 2025 catat 5.2% dan berkembang 6.3% pada suku keempat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ekonomi negara masih menunjukkan tahap daya tahan yang baik, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh.

“Untuk tahun ini, kita masih mengekalkan kadar pertumbuhan pada unjuran tersebut. Walau bagaimanapun, perkara ini akan sentiasa disemak oleh Bank Negara Malaysia, yang akhirnya akan menentukan sama ada sasaran perlu dikekalkan, dinaikkan atau diturunkan. Setakat ini, indikasinya menunjukkan kita kekal dengan sasaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat IAPG Perdana dan Peluncuran Sistem MyRMK: Sistem Pemantauan Pelan Pelaksanaan Dasar RMK13, di sini hari ini.

Tambahnya, sasaran pertumbuhan itu juga ditetapkan selepas mengambil kira pelbagai prospek dan risiko semasa yang berpotensi mempengaruhi prestasi ekonomi negara tahun ini.

Katanya, prestasi ekonomi pada 2025 turut menjadi penanda aras dengan kadar pertumbuhan KDNK telah melebihi sasaran awal.

Ia sekali gus memberi indikasi bahawa asas ekonomi negara kekal kukuh meskipun berdepan cabaran geopolitik global.

“Pada 2025, kita melihat daya tahan ekonomi masih mantap, dengan kadar pertumbuhan melebihi sasaran yang ditetapkan. KDNK bagi 2025 mencatatkan 5.2 peratus, dengan momentum lebih kukuh apabila berkembang 6.3 peratus pada suku keempat,” katanya.