fb fb fb fb fb

KDN teliti fakta mengenai tiga ketua NGO dalam senarai FBI

Datuk Seri Saifuddin pada Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury

PUTRAJAYA, 19 Februari- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menyemak fakta mengenai tiga pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang disenaraikan dalam Pusat Pemeriksaan Pengganas (TSC) oleh Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bagi mendapatkan gambaran berhubung perkara itu.

"Saya pun baru mengetahui perkara itu dua lepas, saya sudah menghubungi KPN dan untuk memberikan saya gambaran yang lebih tepat mengenai perkara itu.

"Apa yang kita tahu ialah FBI ada membuat permintaan berkaitan perkara itu, jadi kita kena semak dahulu fakta yang tepat,"katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Pejabat Pasport Shaftbury.

Terdahulu, tular di media sosial pemakluman secara rasmi daripada Kementerian Luar yang telah mengarahkan ketiga-tiga individu berkenaan tidak dibabitkan dalam Ops Ihsan yang menguruskan penghantaran bantuan kemanusiaan rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin di Gaza.

Perkara itu telah disahkan Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan, Jismi Johari selepas menerima surat berkenaan daripada Kementerian Luar Bahagian Asia Barat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE