fb fb fb fb fb

KDN siap siaga berdepan gelombang kedua banjir-Saifuddin

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail /Foto BERNAMA

TUMPAT, 6 Disember-Semua pasukan keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengekalkan prestasi siap siaga untuk menghadapi gelombang banjir kedua, sama seperti yang dilakukan ketika ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keutamaan pasukan adalah untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda sehubungan itu pendekatan tersebut akan diguna pakai untuk gelombang seterusnya.

"Jadi, saya mintak tahap siap siaga dikekalkan, dan kita harap prestasi serupa dapat digerakkan.Kalau kita tengok 72 jam pertama persiapan kita awal melalui koordinasi NADMA dan 80,000 pasukan petugas semua agensi dapat memindahkan sehingga 118,000.

"Jadi itu kerana persiapan awal. Jadi strategi sama pendekatan sama. Kemungkinan kedua kita harap atur gerak yang sama dapat dikekalkan sebab ketika banjir melanda keutamaan kita adalah selamatkan nyawa", katanya demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika lawatan dan tinjauan mangsa banjir di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat di sini.

Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) sebelum ini meramalkan gelombang kedua banjir dijangka akan berlaku pada 8 hingga 14 Disember ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menegaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memastikan pemimpin dan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang terpesong daripada akidah tidak kembali mengamalkan fahaman mereka yang telah difatwakan sebagai sesat.

Menurut beliau,  perkara tersebut  ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim agar penyelarasan dibuat bersama semua agensi terlibat termasuk polis, jabatan agama dan sebagainya supaya tindakan memulihkan individu terbabit tidak dilihat secara bermusim.

“Jadi yang  dikehendaki oleh Perdana Menteri (PM), arahan khusus kpd KDN ialah melakukan penyelarasan dengan semua agensi supaya jangan dilihat bahawa langkah kita itu bermusim.

"Bila kita ambil tindakan tempoh hari selain daripada proses undang-undang, langkah yang lebih mencabar adalah dengan memastikan supaya kelompok ini tidak kembali mengulangi menjalankan aktiviti fahaman lama. Itu arahan khusus PM kepada KDN", katanya.

Mengulas lanjut Datuk Seri Saifuddin berkata, pihaknya turut mengesan pengikut-pengikut ajaran terbabit kembali mengikuti fahaman sesat mereka melalui dalam talian dan perkara itu telah dipantau polis dengan kerjasama Suruhanyaja Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
 
Katanya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dalam mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini melaporkan, anak-anak pengikut GISBH sudah dipulang kepada ibu bapa dan penjaga mereka.
 
Semalam, Datuk Seri Nancy memaklumkan, seramai 130 anak-anak pengikut GISBH di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) belum dituntut ibu bapa mereka disebabkan bimbang ditangkap polis dan faktor kewangan selepas hilang punca pendapatan apabila premis  tempat mereka bekerja ditutup.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD