IPOH, 4 Mac- Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka dengan cadangan agar kaedah permohonan penganjuran perhimpunan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, diperkemas.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata pihaknya tiada halangan untuk mempertimbang cadangan tersebut, bergantung kepada penelitian yang dijalankan.
Jelas beliau, gesaan itu dibuat oleh pihak penganjur kerana mereka merasakan kaedah permohonan seharusnya dipermudahkan.
"Jadi, saya tiada sebarang masalah. Saya percaya pasukan polis akan mendengar dan meneliti, jika ada keperluan untuk menambah baik, mereka akan laksanakan perkara itu."
"Saya tidak ada sebarang halangan untuk berinteraksi termasuklah aktivis dan penganjur pertandingan, sebahagiannya kawan-kawan lama saya. Saya juga peserta yang aktif satu masa dahulu di bawah Seksyen 27 Akta Polis," kata Saifuddin kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Rumah Seri Kenangan Ulu Kinta.
Semalam, bekas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Maria Chin Abdullah mencadangkan agar kaedah permohonan diperkemas bagi memastikan rakyat dapat melaksanakan hak dan kebebasan dalam menganjurkan apa-apa perhimpunan.