KDN Perlis laksana pelupusan 3.5 tan al-Quran rosak akibat banjir

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, Mohd Khuzuan Fauzi (tengah) semasa melaksana pelupusan hampir 3.5 tan al-Quran di Perlis

KANGAR, 15 Februari – Hampir 3.5 tan al-Quran dan bahan al-Quran yang rosak akibat banjir di Perlis, dilupuskan mengikut prosedur ditetapkan menggunakan relau khas tertutup. Abu hasil pembakaran kemudiannya diproses dan dibekukan, sebelum dilepas ke tengah laut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelupusan al-Quran dan bahan al-Quran rosak dilaksanakan mengikut prosedur menggunakan relau khas tertutup.
  • Bahan dikumpul di 20 pusat pengumpulan sementara sebelum dihantar ke Pejabat KDN Perlis oleh RELA.
  • KDN menegaskan al-Quran rosak mesti dilupuskan mengikut prosedur bagi menjaga kesuciannya.

Pengarah Bahagian Penguatkuasan dan Kawalan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perlis, Mohd Khuzuan Fauzi berkata semua bahan berkenaan dikumpulkan di 20 pusat pengumpulan sementara, sebelum dihantar ke Pejabat KDN Perlis menggunakan aset Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Operasi tersebut diselaraskan Bahagian Penguatkuasaan KDN Perlis melalui penubuhan Skuad Pasca Banjir Muqaddas pada Februari 2025, sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi situasi bencana.

“Skuad berkenaan digerakkan susulan banjir pada penghujung tahun lalu yang menjejaskan masjid, surau, sekolah dan kediaman, hingga menyebabkan banyak naskhah al-Quran rosak”, katanya menerusi kenyataan, di sini.

Dalam pada itu, KDN mengingatkan bahawa Al-Quran yang rosak tidak boleh dibuang atau dilupuskan secara sembarangan, sebaliknya perlu melalui prosedur yang ditetapkan bagi menjaga kesuciannya.