fb fb fb fb fb

KDN melalui JPN tawar penggantian sijil lahir, kad pengenalan percuma

Tangkap layar hantaran Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi X

KUALA LUMPUR, 1 Disember- Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menawarkan penggantian dokumen seperti sijil lahir dan kad pengenalan yang hilang secara percuma kepada penduduk terjejas banjir.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran X memaklumkan, selepas musim banjir, pegawai JPN akan membuka kaunter dan menggerakkan bas bergerak ke kawasan terjejas untuk memastikan urusan tersebut disegerakan.

"Saya berharap usaha kami akan sedikit sebanyak membantu mangsa yang terkesan bagi memudahkan urusan mereka pascabanjir nanti," katanya.

Setakat pukul 12.00 tengah hari seramai 150,897 penduduk terjejas banjir direkodkan dan ditempatkan di 709 pusat pemindahan sementara (PPS).

Menerusi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 10 negeri terkesan banjir ketika ini ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pahang, Melaka, Perlis, Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI