
PADANG SERAI, 7 Mac – Sebanyak 1,050 perakuan pruf akhir teks dan bahan al-Quran melibatkan mushaf bercetak, bahan digital serta audio telah diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri setakat ini bagi tujuan pencetakan dan edaran kepada masyarakat.
- Penguatkuasaan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 mencatat rampasan RM1.98 juta, 56,946 unit; 12,048 premis diperiksa, 302 kertas siasatan dibuka.
- Pelekat hologram keselamatan diwajibkan sejak 2010 bagi memastikan setiap mushaf di pasaran melalui proses pengesahan sah.
- Program Jom Exchange al-Quran dilaksanakan sejak 2023; 723 program, 75,614 naskhah berjaya ditukar ganti.
- Hampir 3.5 tan metrik teks al-Quran rosak akibat banjir di Perlis dimuliakan 15 Februari mengikut prosedur dan garis panduan.
Langkah itu bertujuan memastikan hanya teks al-Quran yang sah dan diperakui berada di pasaran negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, sepanjang tahun 2025, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 merekodkan nilai rampasan sebanyak RM1.98 juta.
Rampasan itu melibatkan 56,946 unit teks dan bahan al-Quran hasil pemeriksaan terhadap 12,048 premis, selain pembukaan 302 kertas siasatan.
Beliau berkata pencapaian tersebut adalah hasil pelaksanaan fungsi teras Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN yang bertanggungjawab memastikan kesucian, kesahihan serta ketulenan teks al-Quran di Malaysia sentiasa terpelihara.
“Usaha pengawalseliaan ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan pelekat hologram keselamatan yang diwajibkan sejak tahun 2010 bagi memastikan setiap mushaf yang diedarkan di pasaran telah melalui proses pengesahan yang sah,” katanya
Saifuddin menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026 di Padang Serai, Kulim.
Tambahnya, bagi tempoh 26 Januari hingga 8 Februari lalu, sebanyak 6,620 unit teks dan bahan al-Quran bernilai RM378,171.92 turut disita atas pelbagai kesalahan.
Rampasan itu dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 1,758 premis di seluruh negara dengan 44 kertas siasatan dibuka.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata nilai penguatkuasaan yang direkodkan menerusi Ops Mulia pada tahun lalu mencecah RM957,762.10.
“Tindakan memelihara kesucian dan ketulenan teks al-Quran akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan berterusan selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan hampir 3.5 tan metrik teks dan bahan al-Quran yang rosak akibat banjir di Perlis telah dimuliakan pada 15 Februari lalu mengikut prosedur serta garis panduan ditetapkan bagi memastikan kesucian ayat-ayat suci al-Quran terus terpelihara.
Selain itu, program Jom Exchange al-Quran (JEQ) turut diperkenalkan bagi menggalakkan orang ramai menukar al-Quran lama, rosak atau tidak mempunyai perakuan KDN kepada naskhah yang sah diperakui.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, sebanyak 723 program JEQ telah dilaksanakan dengan 75,614 naskhah al-Quran berjaya ditukar ganti.
“Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan nilai ilmu, integriti dan ihsan dalam pentadbiran negara agar setiap dasar dan tindakan sentiasa berpaksikan nilai yang membawa kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya.