
HULU PERAK, 12 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi memperkukuh pemantauan di stesen minyak berhampiran sempadan.
- Pendekatan berasaskan data digunakan untuk mengesan stesen minyak mencatat jualan luar biasa.
- Tindakan segera diambil apabila rekod jualan petrol atau diesel mencatatkan angka luar biasa.
- Siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang dan arahan Kabinet.
- Operasi bersepadu melibatkan PDRM, Agensi Kawalan dan Pasukan Gerakan Am di kawasan sempadan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerjasama itu melibatkan pengumpulan data kadar jualan bahan api sebelum penempatan anggota polis di lokasi terlibat.
Pendekatan berasaskan data membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti stesen minyak yang mencatatkan jualan luar biasa tinggi. Langkah tersebut lebih berkesan berbanding pemantauan secara rawak dalam usaha mengekang penyeludupan bahan api di kawasan sempadan.
“Kalau jumlah jualan mencatatkan rekod yang luar biasa tinggi, itu menjadi fokus utama kami. Kita tidak perlu menunggu lama untuk bertindak kerana data dan rekod jualan, sama ada petrol atau diesel, berada di bawah pemantauan dua kementerian ini.
“Apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) diminta mempergiatkan pemantauan bagi membanteras aktiviti penyeludupan, maka pendekatan yang lebih efisien ialah berasaskan data dan rekod,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja serta pemantauan operasi kawalan sempadan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Hulu di sini.
Siasatan akan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang yang bersesuaian, sama ada bawah KDN atau agensi berkaitan, selaras dengan arahan Kabinet. Operasi turut dilaksanakan secara bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia serta Pasukan Gerakan Am.
Terdahulu, KDN mengatur gerak anggota PDRM bagi memantau lebih 80 stesen minyak di kawasan sempadan negara dalam usaha mengekang ketirisan bekalan petrol dan diesel.