fb fb fb fb fb

KDN atur gerak 66,042 anggota hadapi Monsun Timur Laut

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Sebanyak 66,042 anggota daripada tiga agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersiap siaga menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula awal bulan depan.

KDN dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selain 10,540 pelbagai jenis aset.

"Seramai 17,216 anggota PDRM berserta 9,936 aset pelbagai jenis, RELA (47,100 anggota dan 457 aset) manakala APMM (1,726 anggota dan 147 aset) bersedia diatur gerak di seluruh negara.

“Antara peranan pasukan ini adalah pemindahan mangsa, kawalan keselamatan dan trafik di tempat bencana, rondaan dan pemantauan kawasan berisiko bencana, penugasan di pusat pemindahan sementara, penugasan di Pusat Pangkalan Bekalan Hadapan, operasi mencari dan menyelamat serta penugasan pascabencana banjir,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, PDRM juga akan bertindak sebagai Komander Operasi Bencana seperti yang ditetapkan dalam Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.

Fenomena MTL biasanya akan membawa hujan lebat berserta angin kencang dan berisiko menyebabkan kejadian banjir serta banjir kilat di kawasan terbabit.

Sehubungan itu, KDN menasihatkan orang ramai yang berisiko terkesan bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia.

Pada masa sama bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir dengan menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM di talian 03-2266 3333 / 03- 2266 3444 / 03-2266 3451 atau menghubungi talian MERS 999 untuk bantuan kecemasan selain melayari www.portalbencana.nadma.gov.my.-BERNAMA

Trainee2