KUANTAN, 19 Januari - Dua kapal peronda (PC) yang usia melebihi 50 tahun dinamakan Kapal Diraja (KD) Sri Sabah dan KD Sri Sarawak menerima pentauliahan semula dan dijangka dapat beroperasi selama 15 tahun.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman Ayob berkata, jangkaan itu dibuat selepas kejayaan membaik pilih kedua-dua kapal tersebut dengan sistem dan enjin baharu.
"Kemasukan KD Sri Sabah dan KD Sri Sarawak ke dalam armada TLDM merupakan langkah interim dalam menangani cabaran semasa angkatan laut negara.
"Dua kapal itu pernah menjadi aset TLDM sejak 1967, sebelum diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) ketika penubuhan awal agensi itu pada 2006," kata Abdul Rahman, di sini.
Jelasnya, Maritim kemudian tidak berhasrat untuk mengoperasikan semula kapal ini pada 10 Jun 2020, ia seterusnya dibaik pulih bagi membolehkan ia beroperasi untuk memenuhi keperluan operasi TLDM.
Buat sementara waktu, kedua-dua kapal berkenaan akan berpangkalan di Markas Wilayah Laut 1, Kuantan dan seterusnya akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2, Sandakan bagi penugasan di perairan Sabah Timur khususnya.
Tambahnya, dua kapal itu akan diletakkan dalam Skuadron Kapal Ronda ke-13 bersama-sama KD Sri Johor dan KD Sri Perlis.