fb fb fb fb fb

KBS teliti cadangan perbanyak fasiliti Rakan Litar

Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti cadangan bagi memperbanyakkan pembangunan fasiliti melibatkan Rakan Litar bagi memperkukuh penjenamaan Rakan Muda.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, program tersebut merupakan salah satu daripada 10 gaya hidup yang diperkenalkan dalam program Rakan Muda selari dengan minat golongan muda dalam sukan permotoran.

"Rakan Litar bukan paling popular dalam 10 gaya hidup. Tahun lepas sahaja kita mempunyai 3,581 sasaran, 4,000 belia ini mungkin kekurangan fasliti litar untuk program-program seperti ini.

"Jadi KBS telah mengambil inisiatif melihat cara untuk memperbanyakkan pembangunan fasiliti untuk lumba kereta lasak seperti yang kita bangunkan di Perlis. Kita sedang sediakan kertas untuk melibatkan semua exco negeri selepas siap kita akan bagi tawaran seperti yang kita lakukan untuk naik taraf padang untuk liga bola sepak setiap negeri," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan yang dikemukan Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan berkenaan tahap keberhasilan Rakan Litar ke arah mempromosi sukan bermotor dalam kalangan anak muda serta perancangan KBS dalam mempergiat siri bengkel permotoran di Parlimen Kangar dan parlimen lain di seluruh negara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI