BUKIT BERUANG, 17 Februari- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan sebanyak satu juta penglibatan dalam sambutan Hari Belia Negara yang berlangsung di Melaka pada 25 Mei depan.
Sehubungan itu, Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berharap program seperti Kembara Jumpa Orang Muda (K-JOM) dapat dilaksanakan segera di seluruh negara sebelum pertengahan tahun ini bagi mencapai sasaran berkenaan.
Ujarnya, K-JOM yang melakukan perjumpaan bersemuka dengan golongan belia dapat memudahkan KBS merumuskan objektif utama serta merangka pengisian bagi sambutan Hari Belia Negara.
"Selepas kita adakan sesi-sesi sebegini (seperti) town hall, perjumpaan input, kita harap boleh dapatkan satu lagi pandu arah kepada program yang dibawa oleh KBS dan boleh juga dijadikan salah satu pengisian atau perkara yang disampaikan menerusi Hari Belia Negara.
"Tahun ini pun sama, sebenarnya kalau kita tengok setiap program yang digerakkan oleh KBS sekarang adalah berdasarkan apa dirumus ketika tahun lepas.
"Antara lainnya, peningkatan terhadap penglibatan golongan belia dalam pertubuhan-pertubuhan belia. Sebab itu kita bawa pertubuhan belia (dan) kita dipertemukan dengan golongan belia massa dan kita dedahkan kepada mereka bahawa ini ada platform untuk mereka ikut serta," katanya ketika ditemui media pada program K-JOM di sini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Tambahnya, K-JOM akan diadakan di seluruh negara, dengan misi dan visi yang sama untuk mengumpulkan belia serta meraikan aktiviti sosial mereka.