KBS perkasa belia hadapi era AI, fokus keusahawanan, TVET

Peserta Program Latihan Microsoft AI for My Future / FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Mac Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terus memperkukuh pembangunan generasi muda dalam menghadapi cabaran era kecerdasan buatan (AI), ketidakstabilan pekerjaan dan persaingan global, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkenalkan Platform Belia 360 untuk memprofil bakat, bina jaringan mentor dan salur potensi belia secara sistematik.
  • Fokus keusahawanan dan literasi digital melalui Program Celik Digital Usahawan Belia, Platform Rakan Muda dan modul Mybizhub@ILKBS.
  • Integrasi AI dalam latihan ILKBS melalui program Microsoft AI For My Future untuk tingkatkan kreativiti dan kemahiran pengajar.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata KBS memperkenalkan Platform Belia 360 bagi memprofil bakat, membina jaringan mentor serta menyalurkan potensi belia secara sistematik.

“Kita merancang pembangunan belia secara menyeluruh yang merangkumi modal insan, jaringan komuniti, integrasi teknologi serta laluan pembangunan diri dan kerjaya yang jelas,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu.

Beliau menegaskan pelbagai program telah dilaksanakan termasuk Program Celik Digital Usahawan Belia bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), serta Platform Rakan Muda yang menumpukan kepada pembangunan kemahiran, keusahawanan, inovasi dan literasi digital bagi memastikan belia kekal relevan dengan keperluan industri.

Dalam aspek latihan kemahiran, Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) melaksanakan TVETpreneur ILKBS serta modul keusahawanan digital seperti Mybizhub@ILKBS, yang menyediakan pelajar peluang pembangunan produk, kreativiti teknologi, kolaborasi industri dan akses pembiayaan.

Dr. Mohammad Taufiq turut menekankan integrasi kecerdasan buatan melalui program Microsoft AI For My Future bagi tenaga pengajar ILKBS, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dalam memperkukuh nilai daya cipta dan keyakinan generasi muda.