KBS perhalusi garis panduan baharu e-sukan, kekang unsur keganasan

 

RINGKASAN BERITA AI
  • KBS dan Kementerian Digital merangka garis panduan eSports baharu untuk cegah unsur keganasan dalam kalangan belia.
  • Unsur keganasan dipercayai dipengaruhi interaksi dan kandungan permainan dalam talian, termasuk chat yang membawa ekstremisme.
  • JBSN laksanakan program pencegahan termasuk projek "Dengar Rakan Muda" untuk penyaluran emosi dan kawalan tingkah laku agresif.
  • KBS tingkatkan penglibatan belia melalui pendaftaran pertubuhan, program outreach dan inisiatif Sejati Madani X Belia.
Tinjauan mendapati unsur keganasan yang wujud di kalangan belia banyak dipengaruhi oleh permainan dalam talian./ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang merangka kerjasama dengan Kementerian Digital untuk memperhalusi garis panduan baharu terhadap permainan e-sukan bagi mengekang unsur keganasan dalam kalangan belia.

Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata garis panduan itu diperkenal selepas tinjauan mendapati unsur keganasan yang wujud di kalangan mereka, banyak dipengaruhi oleh permainan dalam talian.

“Sebab sekarang ini kalau kita lihat, rupanya keganasan itu boleh timbul ketika anak-anak muda ini bermain ‘game’ secara dalam talian. Dia mula daripada ‘chat’, kemudian dari situ, unsur-unsur ekstremisme itu mula masuk.

“Kemudian dia mula menghasut anak-anak muda kita ini untuk ke arah keganasan dan anak muda yang tidak tahu apa-apa ini merasakan ia sesuatu yang biasa. Sebab itu banyak gejala-gejala sosial yang berlaku bermula daripada situ.

“Sebab itu kita sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan (KPM), untuk memastikan e-sukan ini sesuatu yang baik, tetapi ia perlukan satu garis panduan supaya ia tidak tersasar daripada tujuan asal dan pengawasan di alam maya sahaja belum mencukupi,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Niran Tan Kran pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Sebagai penyelesaian proaktif bagi mencegah tingkah laku agresif belia ini, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) katanya, giat melaksanakan beberapa program, antaranya penyaluran emosi terkawal, iaitu projek ‘Dengar Rakan Muda’.

Menjawab soalan tambahan Senator Dr Jufitri Joha berkaitan belia berpersatuan, Dr Mohammed Taufiq berkata, Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) sentiasa bekerja rapat dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) untuk memastikan pendaftaran ataupun keterlibatan anak-anak muda dengan berpersatuan dapat ditingkatkan.

Pelbagai program dilaksana, termasuklah Program Outreach Pertubuhan Belia Kolaborasi Pintar Belia, Program Santuni Pertubuhan Belia dan Bengkel Tadbir Urus Pertubuhan Belia.

Sebagai daya tarikan baharu, kementerian juga bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri, ICU JPM dengan memperkenalkan program Sejati Madani X Belia.

Program menyasarkan penyertaan sebanyak 2,500 pertubuhan belia seluruh negara.