SHAH ALAM, 24 Julai - Penyedia platform pembelian dalam talian yang menawarkan perkhidmatan Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) disaran melakukan kawal selia kendiri bagi menjamin hak pengguna.
Jelas Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, pendekatan tersebut perlu dilakukan sementara menunggu undang-undang yang lebih lengkap mengenai BNPL dapat disediakan dan dibawa ke Parlimen.
"Nasihat saya kepada pemilik platform untuk sama-sama memastikan sistem digunakan dengan berintegriti. Undang-undang e-dagang, termasuk berkaitan BNPL, masih belum dibentangkan di Parlimen.
"Jadi, sementara menunggu rangka perundangan lengkap, kita galakkan kawal selia kendiri demi melindungi pengguna," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penutup TikTok Shop Summit dan Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, di sini, hari ini.
Mengulas perkembangan semasa, Datuk Dr Fuziah turut merujuk kebimbangan berikutan peningkatan ketara penggunaan BNPL.
Menurut laporan, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, memaklumkan bahawa jumlah transaksi BNPL meningkat kepada RM102.6 juta pada separuh pertama tahun ini, berbanding RM83.8 juta pada separuh kedua 2024.
Sehubungan itu, Kementerian menegaskan keperluan kerjasama antara pihak industri dan kerajaan bagi membudayakan penggunaan platform secara bertanggungjawab dan selamat.