fb fb fb fb fb

Kawal kos tunai haji dan umrah, kerajaan akan buat rundingan terus dengan pengusaha di Arab Saudi

PUTRAJAYA, 26 Januari - Kerajaan dan Tabung Haji (TH) akan mengadakan rundingan terus dengan pemilik hotel di Arab Saudi dalam masa terdekat bagi mengawal dan mengurangkan kos mengerjakan haji pada tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini namun kos berkenaan berada di luar kawalan mereka.

 
(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar / Foto Bernama) 

Beliau turut menyarankan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk sama-sama mengambil tindakan bagi mencari penyelesaian terhadap isu peningkatan mendadak kos tunai haji dan umrah yang membebankan jemaah.

Ini kerana, hal ehwal umrah berada di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

"Pihak tabung haji dan saya sendiri telah mengadakan perbincangan dengan pihak menteri haji dan juga pemilik-pemilik hotel disana. Itu dalam bidang kuasa tabung haji dan hal ehwal agama. Kita mengharapkan InsyaAllah dalam konteks pihak kementerian MOTAC mungkin boleh mengadakan rundingan yang sama untuk melihat bagaimana kos haji, umrah dapat dikurangkan," katanya pada sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2022 di Wilayah Persekutuan di sini.

Sebelum ini, media melaporkan kos menunaikan haji secara muassasah tahun ini dijangka meningkat kepada lebih 31,000, berbanding RM28,600 kos sebenar setiap jemaah pada musim lalu.

Agensi pelancongan tempatan juga dijangka terpaksa menaikkan harga pakej umrah yang kini bernilai sekitar hampir RM8,000 kepada RM10,000 akibat kenaikan mendadak pelbagai kos di Makkah dan Madinah.

Media Baharu