fb fb fb fb fb

Kastam Kelantan rampas rokok seludup bernilai RM2.3 juta

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long menunjukkan antara rokok yang dirampas

KOTA BHARU, 28 April- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas 2.62 juta batang rokok seludup membabitkan pelbagai jenama bernilai lebih RM2.3 juta termasuk cukai menerusi dua serbuan berasingan, Rabu lalu.
 
Rampasan berkenaan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu dan Rantau Panjang di Kampung Pasir Pekan Hilir dan Kampung Pasir Pekan di Tumpat.
 
Menurut Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, serbuan pertama dilakukan di tepi tebing sungai di Kampung Pasir Pekan pada pukul 8.10 malam yang membawa kepada rampasan sebanyak 93 kotak berisi 1.72 juta batang rokok disimpan dalam sebuah lori.
 
900,000 batang daripadanya merupakan rokok peranti pemanas tembakau.
 
Manakala dalam serbuan kedua hanya berjarak kira-kira tiga kilometer dari lokasi pertama, sekitar pukul 9.30 malam, 90 kotak rokok seludup membabitkan 900,000 batang rokok dirampas.
 
Kedua-dua kes dipercayai didalangi sindiket yang sama dan bekalan terbabit diseludup dari negara jiran.

"Siasatan awal mendapati modus operandi yang dilakukan sindiket berkenaan adalah membawa masuk barangan berkenaan melalui sempadan Malaysia-Thailand.

"Khidmat penyeludup akan digunakan dengan membawa masuk rokok pelbagai jenis melalui Sungai Golok secara berperingkat dan kemudian disembunyikan sebelum diedar dalam pasaran,"katanya.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE