KUALA LUMPUR, 1 Disember - Karnival Kelestarian Komuniti (Tamu SDG) menjadi platform penting menghimpunkan Rakan Solusi dari seluruh negara untuk mempamerkan impak, produk, inovasi dan perkhidmatan berasaskan komuniti, sekali gus mengukuhkan usaha ke arah pembangunan lestari.
Pengarah Eksekutif Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia Berkenaan Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), Nur Rahmah Othman berkata, program berkenaan bukan sahaja mengetengahkan impak sebenar SDG kepada penggubal dasar dan agensi kerajaan, malah membuka ruang padanan strategik antara komuniti, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelabur serta kementerian.
Beliau menegaskan, kerjasama menyeluruh daripada semua pihak amat diperlukan, selain kerajaan disaran meneruskan dasar pembiayaan serta penambahbaikan mekanisme bagi memastikan projek komuniti dapat terus berkembang.
“Dan hari ini melalui program Tamu SDG kita dapat melihat bagaimana penyelesaian itu mengambil bentuk daripada amalan pertanian komuniti, inovasi sosial, koperasi, pendidikan, pengurusan risiko banjir hinggalah kepada ekonomi sosial. Semua ini dibina oleh rakyat dan untuk rakyat sendiri.
"Lebih signifikan, Tamu SDG pada hari ini mencerminkan perkembangan ekosistem multi-stakeholder yang semakin matang di Malaysia," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Tamu SDG di bangunan Parlimen.
Program dua hari itu menampilkan 42 reruai pameran yang mengetengahkan pelbagai produk dan hasil kerja komuniti setempat.
Nur Rahmah turut berharap penganjuran seumpama ini menjadi pemangkin kepada kerjasama berterusan jangka panjang serta membuka lebih banyak peluang pembangunan komuniti di seluruh negara.
Karnival berkenaan turut mendapat sokongan pembiayaan daripada Dana Kelestarian Rakan APPGM-SDG, Inisiatif Intervensi Dasar, Yayasan Hasanah serta Kementerian Kewangan.