PADANG BESAR, 25 Disember- Lebih 10,000 pengunjung memeriahkan Karnival Mini Himpunan Ruminan Negeri Perlis yang berlangsung selama tiga hari berakhir malam tadi.
Program yang julung kali dianjurkan oleh Persatuan Penternak Ruminan Negeri Perlis telah menghimpunkan lembu sado atau baka Hybrid.
Karnikal tersebut berjaya menghimpunkan 44 ekor lembu sado yang dianggarkan setiap seekor mempunyai berat kira-kira 500 kilogram.
Menurut Exco Pertanian, Perladangan Dan Industri Makanan Negeri, Razali Saad , selain memberi peluang kepada pengunjung yang hadir melihat sendiri baka lembu sado, pelbagai acara turut berlangsung antaranya Pertandingan Lembu Sado dan Pertandingan Kambing Pejantan Terbaik.
"Untuk tahun hadapan sempena Tahun Melawat Perlis 2024, kita akan adakan secara peringkat kebangsaan terutama sekali peringkat utara, wilayah utara, Perak utara, Pulau Pinang, Kedah dan juga Perlis dan kita akan buka untuk peringkat kebangsaan," katanya.
Razali memaklumkannya pada Majlis Penutupan Karnival Mini Himpunan Ruminan Negeri Perlis di Taman Agrovet,di sini, yang disempurnakan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Berdasarkan bancian ternakan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar bagi tahun 2022 hingga 2023, jumlah ternakan lembu di Perlis adalah sebanyak 5,964 ekor dengan 40 peratus daripadanya adalah lembu betina.
Daripada keseluruhan bilangan ini, 15 peratus lembu betina dijalankan permanian beradas untuk mendapatkan anak lembu baka hyrib atau baka sado dengan bilangan lembu sado induk di negeri ini adalah sebanyak 631 ekor.