fb fb fb fb fb

Karnival Maritim Perkasa 2024 'pukau' pengunjung dengan persembahan aset laut, udara

Pengunjung menyaksikan persembahan aset udara dan laut sempena Karnival Maritim Perkasa 2024 di Jambatan Angkat di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 29 Februari- Persembahan Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui teknik fast-roping diikuti letupan pyrotechnic serta pertunjukan aset laut dan udara milik agensi itu memukau pengunjung Karnival Maritim Perkasa 2024 di Jambatan Angkat di sini hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, persembahan itu merupakan sebahagian tugasan yang digalas oleh Maritim Malaysia dalam memastikan perairan negara selamat dan sejahtera.

"Karnival Maritim Perkasa 2024 bertemakan 'Melestarikan Warisan Maritim Negara' antara platform penting untuk memberikan pemahaman kepada masyarakat tentang peranan dan tanggungjawab yang dipikul oleh agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya ketika hadir merasmikan Karnival Maritim Perkasa 2024 di sini.

Pada majlis sama, turut berlangsung penyerahan replika cek tajaan daripada empat rakan strategik Maritim Malaysia iaitu Weststar Aviation Services Sdn Bhd, Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd, AMP Corporation (M) Sdn Bhd dan KDN kepada Koperasi Maritim Berhad.

Selain itu, program Jualan RAHMAH Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) turut diadakan dengan potongan harga barangan sehingga 30% bagi lebih 150 barangan keperluan asas harian antaranya ayam, beras dan telur ayam.

Karnival selama tiga hari yang bermula hari ini turut dimeriahkan dengan 35 reruai pameran dan kaunter perkhidmatan kerajaan selain pengisian forum agama, aktiviti kesenian dan kebudayaan serta tayangan teater.

Program itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Terengganu Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil: Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu Datuk Razali Idris; Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman serta Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI