fb fb fb fb fb

Karnival KPDN 2024 di Perlis capai matlamat, lepasi sasaran awal pengunjung

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali

KANGAR, 14 Mei - Kehadiran pengunjung ke Program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2024 di Perlis berjaya mencapai matlamat apabila penganjuran karnival itu merekodkan 30,000 pengunjung.

Angka itu melepasi sasaran awal iaitu 20,000 orang pada program julung kalinya diadakan di negeri itu yang berlangsung pada 10 hingga 12 Mei.

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali dalam kenyataan berkata, kehadiran masyarakat di kawasan pinggir dan luar bandar khususnya di negeri zon utara membanjiri karnival itu, menjadi manifestasi bahawa tiada jurang dalam penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Malah katanya, ia merentas kepelbagaian latar geografi penduduk di negara ini.

"Ia bertepatan dengan tema penganjuran karnival ‘Kita Pengguna, Daya Negara', dalam menggerakkan agenda besar kepenggunaan kementerian yang responsif, melalui pendekatan bersemuka secara terus kepada rakyat,” katanya.

Armizan berkata kemeriahan karnival itu tertumpu kepada Program Jualan RAHMAH MADANI (PJR), dimana pengunjung menggunakan peluang membeli barangan keperluan harian seperti beras, telur, minyak masak dan ayam, yang ditawarkan dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga pasaran.

Beliau berkata karnival itu juga telah menghimpunkan lebih 65 pempamer pelbagai perkhidmatan dan agensi, serta menjadi ‘pusat sehenti’ untuk rakyat dengan turut menonjolkan penyampaian perkhidmatan kementerian secara langsung, selain sesi libat urus advokasi kepenggunaan, penguatkuasaan, inisiatif Payung RAHMAH dan advokasi Logo Barangan Malaysia (LBM).

Sehubungan itu, Armizan berkata program Jelajah Karnival KPDN 2024 di Perlis yang merupakan pembuka tirai untuk siri jelajah program pembangunan perniagaan, akan diteruskan di seluruh negara antaranya di Kelantan, Sarawak, Perak, Sabah dan Melaka bermula daripada Mei hingga Disember 2024.

TETITIA YUSOFF