Karnival JMU 2026 catat MBOR sebagai Karnival Pendidikan Tinggi Maya Terbesar

Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM (tengah) memegang replika Malaysia Book of Record sempena Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 di UiTM Shah Alam – Foto UiTM

SHAH ALAM, 16 Mac – Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 Zon Tengah I yang berlangsung secara maya mencatat sejarah apabila menerima pengiktirafan ‘Malaysia Book of Records‘ (MBOR) bagi kategori “Karnival Pendidikan Tinggi Maya Terbesar.”

RINGKASAN BERITA AI
  • Melibatkan semua Universiti Awam dan pelbagai agensi pendidikan tinggi; UiTM dilantik sebagai tuan rumah Zon Tengah I.
  • Sebanyak 386 reruai maya melebihi sasaran, disokong platform digital jommasuku.uitm.edu.my yang dibangunkan sepenuhnya oleh UiTM.
  • Karnival memudahkan pelajar dan ibu bapa mendapatkan maklumat laluan pengajian tinggi bagi membuat keputusan tepat.

Sekali gus, menandakan pencapaian baharu dalam usaha memperluaskan akses maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.

Karnival yang berlangsung pada 16 hingga 17 Mac itu melibatkan penyertaan semua Universiti Awam (UA) serta pelbagai agensi pendidikan tinggi, dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilantik sebagai tuan rumah bagi penganjuran Zon Tengah I.

Sebanyak 386 reruai maya terlibat, melepasi sasaran asal pihak penganjur iaitu 240 reruai maya.

Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin berkata, penganjuran karnival secara maya merupakan pendekatan inovatif selaras dengan keperluan transformasi digital dalam penyampaian maklumat pendidikan tinggi kepada masyarakat.

“Karnival ini membuka ruang kepada para pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan laluan pendidikan tinggi, program pengajian serta peluang yang ditawarkan oleh universiti awam, institusi pendidikan tinggi awam, MARA Bahagian Pendidikan Tinggi dan juga institusi pendidikan tinggi swasta,” katanya.

Karnival Jom Masuk Universiti merupakan inisiatif penting Kementerian Pendidikan Tinggi dalam membantu pelajar lepasan sekolah dan ibu bapa mendapatkan maklumat secara terus mengenai peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi.

Bagi menyokong pelaksanaan karnival secara maya, UiTM turut membangunkan sebuah platform digital khas iaitu jommasuku.uitm.edu.my, yang dibangunkan sepenuhnya secara in-house oleh kepakaran warga UiTM bagi memastikan pengalaman interaktif kepada para pengunjung.

Karnival JMU 2026 Zon Tengah I secara virtual pada kali ini melibatkan penyertaan 62 agensi dan institusi pendidikan tinggi yang membuka reruai maya bagi memberikan maklumat berkaitan peluang pengajian kepada para pelajar.

Sebagai tuan rumah, UiTM turut memainkan peranan aktif dengan membuka 37 reruai maya yang melibatkan semua fakulti serta jabatan di universiti tersebut bagi memberikan maklumat secara langsung kepada para pelajar yang berminat.

Dalam ucapannya, Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin turut merakamkan penghargaan kepada Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Awam (BKPA), Jabatan Pendidikan Tinggi atas kepercayaan yang diberikan kepada UiTM sebagai rakan strategik penganjuran bagi Zon Tengah I.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Maxis selaku rakan penaja dan rakan industri yang menyokong pelaksanaan program berkenaan.

Menurut beliau, penganjuran Karnival Jom Masuk Universiti secara maya ini diharap dapat menjadi platform penting kepada para pelajar dalam membuat pilihan pendidikan tinggi yang tepat.

“Kami berharap platform ini dapat membantu para pelajar membuat keputusan yang lebih jelas mengenai laluan pendidikan tinggi mereka, sekali gus melahirkan generasi graduan yang berilmu, berkemahiran serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.