fb fb fb fb fb

Kapal terbakar: 14 kru warga asing diselamatkan Maritim Malaysia

FOTO MARITIM MALAYSIA

JOHOR BAHRU, 12 Januari- Seramai 14 kru warga asing sebuah kapal tangki berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas kapal berkenaan terbakar di kedudukan empat batu nautika tenggara Tanjung Piai, Pontian dekat sini pagi tadi.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil berkata Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) pada pukul 9.25 pagi setelah menerima makluman kejadian itu daripada Kapal Maritim (KM) SATRIA.

Beliau berkata KM Satria, KM Tambisan dan Bot Kilat 18 dari Maritim Malaysia Negeri Johor telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi mengkoordinasikan Op Carilamat bersama dua buah bot dari Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Jelasnya kebakaran itu berjaya dikawal pada pukul 1.24 tengah hari dan tiada tumpahan minyak dikesan setakat ini.

"Kapal tangki yang berdaftar dari Mongolia itu dikendalikan oleh 15 orang kru warganegara Myanmar, Indonesia dan Singapura berumur lingkungan 22 hingga 73 tahun.

"Seramai 14 orang kru tersebut telah diselamatkan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Johor manakala seorang kru warganegara Indonesia telah hanyut ke perairan Singapura," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kama Azri berkata mangsa yang hanyut itu berjaya dikesan pihak berkuasa republik tersebut yang berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan telah dibawa ke hospital bagi rawatan lanjut.

1201 KAPAL TANGKI TERBAKAR   INSHOT 2
FOTO MARITIM MALAYSIA

SITI AISHAH MD ISA