IPOH, 8 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak telah menahan sebuah kapal tanker berlabuh secara haram pada Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata kapal tanker Liquefied Natural Gas (LNG) HL SUR sepanjang 371.25 meter yang berdaftar di Republik Korea itu berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 30.7 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada jam 1.00 petang.
"Kapal itu dalam perjalanan menuju Oman
dengan dikendalikan 30 kru termasuk nakhoda warga Korea berumur lingkungan 25 hingga 48 tahun," katanya menerusi kenyataan media.
Beliau berkata, jika didapati bersalah, hukuman bagi kesalahan ini adalah denda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) di bawah seksyen 491B(1)(I).
Kesemua kru bersama kapal ditahan di ‘South East Point’ (SEP) Pulau Pangkor bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.