WASHINGTON, 28 Januari- Kapal persiaran terbesar di dunia, Royal Caribbean's Icon of the Seas, yang membawa sejumlah 'penduduk sebuah bandar kecil', telah memulakan pelayaran sulungnya dari Miami pada Sabtu.
Kapal yang dibina selama 900 hari di Turku, Finland itu memiliki panjang lebih daripada Menara Eiffel dengan 20 dek, mampu memuatkan sehingga 7,600 penumpang pada kapasiti maksimum serta mempunyai 2,350 anak kapal.
Kapal gah itu dibangunkan dengan ciri-ciri teknologi terkini selain dikuasakan menerusi gas asli cecair (LNG) mesra alam untuk berlayar sekali gus menjadikan nilainya mencecah AS$2 bilion.
Selain itu, ia dilengkapi pelbagai fasiliti hiburan dan kemudahan merangkumi tujuh kolam renang termasuk tasik buatan bersaiz 40,000 gelen, enam gelongsor air, kuda karusel serta gelanggang ais terbesar di laut.
Lebih 40 tempat makan dan bar dibuka kepada pengunjung, turut dihiburkan oleh 50 pemuzik dan kumpulan orkestra.
Kapal raksasa itu meraih gelaran terbesar di dunia, hanya lebih tiga meter panjang daripada kapal Wonder of the Seas iaitu 365 meter.
Terdahulu, simbolik pelancaran kapal itu dihadiri ikonnya, bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi, 24 Januari lalu.- AFP