fb fb fb fb fb

Kapal layar hilang di perairan Langkawi ditemukan selamat

Foto Maritim Kedah / Perlis

LANGKAWI, 13 Mac – Kapal layar Meridian of Sydney yang dilaporkan hilang sejak 10 Mac lalu akhirnya ditemukan dalam keadaan selamat petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya menerima panggilan daripada Pam Holley pada 11 Mac pukul 3.00 petang, memaklumkan suaminya, Kevin Gordon George Holley, 68, warganegara Australia, yang dalam pelayaran dari Krabi, Thailand ke Pulau Langkawi, gagal dihubungi.

"Bertindak atas laporan tersebut, bot PERKASA digerakkan ke lokasi terakhir kapal layar itu dikesan melalui sistem Marine Tracker, kira-kira 35 batu nautika di barat Pulau Beras Basah. Bagaimanapun, pencarian awal gagal kerana keadaan gelap yang menyukarkan operasi," katanya menerusi kenyataan.

Menurut Romli, pada 11 Mac, pukul 7.30 malam, Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi dengan bantuan Maritim Rescue Coordination Centre (MRCC) mengesan kapal layar itu di lokasi baharu, kira-kira 29.8 batu nautika barat laut Pulau Perak, sebelum Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) diaktifkan pada pukul 8.00 malam.

Pada 12 Mac, kira-kira pukul 2.00 petang, kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD MAHAMIRU, berjaya menemukan kapal layar berkenaan dalam keadaan selamat.

"Mangsa memaklumkan bahawa kapal layarnya mengalami kerosakan pada enjin dan layar, menyebabkan ia hanyut jauh dari laluan asal," tambah Romli.

Operasi CARILAMAT ditamatkan secara rasmi pada 12 Mac, pukul 11.30 malam, selepas kapal layar tersebut berjaya ditunda ke Jeti Telaga Harbour, Langkawi dengan selamat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN