fb fb fb fb fb

Kapal karam: 10 kru diselamatkan Maritim Malaysia

FOTO MARITIM MALAYSIA

TANJUNG RHU, 8 Julai- Seramai 10 orang kru kapal MV KUM JIN termasuk kapten berjaya diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas kapal berkenaan karam di sini awal pagi tadi.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, insiden berkenaan berlaku pada kedudukan 2.1 batu nautika barat Tanjung Rhu dekat sini, sekitar pukul 3.35 pagi.

"Maklumat berhubung kapal karam itu diterima melalui panggilan daripada VTMS Klang kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menyatakan sebuah kapal MV KUM JIN mengalami kebocoran pada bahagian hadapan 'ballast tank' sebelah kiri yang agak teruk.

"(Susulan itu) Bot Perkasa 36 Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi walaupun dalam cuaca buruk," katanya dalam kenyataan.

Abdul Muhaimin berkata, sebaik tiba, anggotanya mendapati kapal berkenaan dalam keadaan tidak stabil dan kesemua kru serta kapten sedang berusaha untuk berpindah ke bot keselamatan.

"Anggota Maritim Malaysia telah membantu memindahkan kesemua kru termasuk kapten ke atas Bot Perkasa 36 sebelum dibawa ke Jeti Pangkalan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk tindakan lanjut dan pemeriksaan kesihatan," katanya.

Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengenalan diri mendapati kapten kapal adalah warga Indonesia berusia 53 tahun, manakala kru lain terdiri daripada warga Indonesia dan Myanmar berusia 19 hingga 50 tahun mempunyai dokumen pengenalan diri serta permit sah.

Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa cakna dengan perubahan cuaca dan aspek keselamatan di laut.

0807 MARITIM SELAMAT BOT KARAM 2
FOTO MARITIM MALAYSIA

SITI AISHAH MD ISA