
HULU TERENGGANU, 31 Januari – Sebagai usaha merapatkan jurang kesedaran mengenai kanser serviks dalam kalangan masyarakat luar bandar, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mengambil pendekatan melantik wakil daripada setiap komuniti bagi memastikan penyampaian maklumat lebih berkesan.
- LPPKN lantik wakil komuniti jadi jurucakap untuk sampaikan maklumat kanser serviks secara lebih berkesan.
- Wakil dipilih dari pelbagai kumpulan seperti eKasih, KRT dan komuniti setempat.
- Perhatian khusus diberikan kepada masyarakat orang asli untuk capai kesamaan akses maklumat dan perkhidmatan.
- Latihan lanjutan disediakan supaya penyampaian maklumat lebih tepat dan merapatkan jurang kesedaran.
Menurut Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Abdul Shukur Abdullah, pendekatan itu dilaksanakan supaya kumpulan sasar berasa lebih selesa mendapatkan maklumat yang tepat daripada komuniti mereka sendiri.
“Kita mendapati masih terdapat kelompok tertentu yang sukar mendapatkan akses kepada perkhidmatan ini.
“Mulai tahun 2026, pendekatan telah diubah dengan melantik jurucakap atau duta bagi menyampaikan maklumat serta penerangan berkaitan bahaya kanser serviks menggunakan kaedah dan pendekatan dalam komuniti itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks 2026 peringkat Negeri Terengganu di sini.
Selain komuniti setempat, perhatian turut diberikan kepada masyarakat orang asli yang memerlukan pendekatan khusus agar mereka juga dapat menikmati hak kesamaan sebagai warganegara Malaysia.
Turut dilantik ialah wakil daripada program eKasih, institusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta komuniti setempat.
Setiap individu yang dilantik akan diberikan latihan lanjutan oleh LPPKN bagi memastikan penyampaian maklumat kepada komuniti lebih tepat, sekali gus merapatkan jurang kesedaran mengenai kanser serviks.